Kisah Habil dan Qabil Putra Nabi Adam A.S.
Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai
tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang
akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang.Pertama lahirlah
pasangan Qabiel dan adik perempuannya yang diberi nama
"Iqlima",kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habiel dan adik
perempuannya yang diberi nama "Lubuda".
Kedua orang tua,Nabi
Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat putera puterinya itu dengan
senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai
oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka meharapkan dari keempat anak
pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk
mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang telah dibebankan
keatas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih
sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa
kanak-kanak dan menginjak masa remaja.Yang perempuan sesuai dengan qudrat dan
fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang
menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari
nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya.Qabiel berusaha dalam bidang pertanian
sedangkan Habiel dibidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan
tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta menyintai hormat
menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukkan yang wajar si
ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap suami dan
anak-anaknya.Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku
dalam harmoni damai dan tenang saling bantu membantu hormat menghormati dan
bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja.
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan mamasuki
alam akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan
kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka hal mana
menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan nasfu
berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari
hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua
puteranya dikahwinkan dengan puterinya.Qabiel dikahwinkan dengan adik habiel
yang bernama Lubuda dan Habiel dengan adik Qabiel yang bernama Iqlima.
Cara yang telah diilham oleh Allahs.w.t. kepada Nabi Adam
telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus
dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai
dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka.Akan tetapi dengan
tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah
oleh Qabiel dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habiel
dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik
adiknya sendiri Iqlima.Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting
adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya
untuk dikahwinkan oleh Habiel.Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan
paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang
menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya
nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki diantara sesama keluarga dan sesama
suku.
Kerana Qabiel tetap berkeras kepala tidak mahu menerima
keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri
Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang
dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai
yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan
masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya.Caranya ialah bahawa
masing-masing dari Qabiel dan Habiel harus menyerahkan qurban kepada Tuhan
dengan catatan bahawa barangsiapa di antara kedua saudara itu diterima
qurbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabiel dan Habiel menerima baik jalan penyelesaian yang
ditawarkan oleh ayahnya.Habiel keluar dan kembali membawa peliharaannya
sedangkan Qabiel datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk
tanamnya yang rusak dan busuk kemudian diletakkan kedua qurban itu kambing
Habiel dan gandum Qabiel diatas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan
dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis qurban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga
Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit
dimana kedua qurban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun dari
langit menyambar kambing binatang qurbannya Habiel yang seketika itu musnah
ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabiel tidak tersentuh sedikit
pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habiel sebagai pemenang dalam
pertaruhan itu karena qurbannya kambing telah diterima oleh Allah sehingga
dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis
saudaranya itu yang akan dipersuntingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia.
Dengan telah jatuhnya keputusan dari langit yang menerima
qurban Habiel dan menolak qurban Qabiel maka pudarlah harapan Qabiel untuk
mempersuntingkan Iqlima.Ia tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada
jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah
sambil menaruh dendam terhadap Habiel yang akan dibunuhnya di kala ketiadaan
ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau
mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabiel. Ia berpesan kepadanya
agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya.Ia
berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara
baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau
merusakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabiel menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan
kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan
sebaik-baiknya dan sesempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam
keadaan baik dan menyenangkan.Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari
mulut Qabiel namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan
yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan
dengkinya terhadap Habiel saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah
Qabiel menemui Habiel di tempat penternakannya.Berkata ia kepada
Habiel:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu.Masanya telah tiba untuk aku
lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habiel.Dengan asalan apakah
engkau hendak membunuhku?"
Qabiel berkata:"Ialah karena qurbanmu diterima oleh
Allah sedangkan qurbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini
adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang
buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habiel berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah
menerima qurbanku dan menolak qurbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara
penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami
laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu
dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat
perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima qurban dari
orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang
suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa qurban yang engkau serahkan
itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rusak dan busuk dan engkau
berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak
oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang
sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku
serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan
buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh
yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa
jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat
tanganku untuk membalasmu karena aku takut kepada Allah dan tidak akan
melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan
kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habiel itu didengar oleh
Qabiel namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak
sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati
sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada
saudara sekandungnya. Qabiel yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya
kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat
yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengkin
didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap
menyala-yala dan ketika Qabiel bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habiel
saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya
dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya
atas diri Habiel di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habiel sebagai
kurban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai kurban pembunuhan
pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habiel.
Qabiel merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat
saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang
semakin lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang
dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabiel dalam keadaan sedih melihat
burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habiel yang
sudah busuk itu.
kebingungan dan kesedihan Qabiel tidak berlangsung lama
karena ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya
sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha
Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan
tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertujukanlah kepada Qabiel,
bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu
menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang
telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah.Melihat contoh dan
pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabiel sejenak
lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku
dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat
saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak
melihat Habiel di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia
kepada Qabiel:"Di manakah Habiel berada?Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."
Qabiel menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku
bukan hamba Habiel yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari
Qabiel, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habiel,
puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya
itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habiel telah mati dibunuh oleh Qabiel sewaktu
peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabiel yang kejam dan ganas
itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan
sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada
Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai
kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar
bagi puteranya Qabiel.
Kisah Qabiel dan Habiel Dalam Al-Quran.
Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam
surah"Al-Maaidah" ayat 27 sehingga ayat 32 .
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam A.S..
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima qurban dari
seseorang yang menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan
sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang diqurbankan
harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan
penghasilan yang halal.Jika qurban itu berupa binatang sembelihan, harus yang
sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan
harus yang masih segar baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah
dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada
Qabiel.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang
dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya,
menurut firman Allah dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti ;
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.Kami angkut mereka di
daratan dan di lautan.Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang
telah Kami ciptakan."
Komentar
Posting Komentar